KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan berhubung kekebalan seorang Perdana Menteri daripada sebarang tindakan saman sivil.
Permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang itu adalah berkait dengan kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.
Serangan seksual itu didakwa berlaku pada Julai 2021 iaitu hampir dua tahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.
Peguam Datuk Seri K. Rajasegaran yang mewakili Ahli Parlimen Tambun itu mengesahkan, notis tersebut telah difailkan semalam.
“Kita fail notis tersebut semalam sebaik sahaja tamat prosiding. Untuk permohonan tangguh prosiding (perbicaraan), kita perlu mendapatkan terlebih dahulu nombor rujukan kes di Mahkamah Rayuan. Bila nombor rujukan telah dapat, baru kita boleh fail permohonan untuk tangguh perbicaraan bersama notis perakuan segera.
“Harap boleh dapat sebelum 16 Jun ini (hari pertama perbicaraan kes),” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Hakim Roz Mawar Rozain ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, permohonan Anwar tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Selain itu, hakim itu turut menyifatkan tindakan itu bertujuan mencipta kekebalan baharu yang tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selepas menolak permohonan Anwar, Hakim Roz Mawar turut memerintahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membayar kos sebanyak RM20,000.
Menerusi permohonan yang difailkan pada 23 Mei lalu melalui firma Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Anwar turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. – UTUSAN
