Ejen Ali The Movie 2 kutip RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari

KUALA LUMPUR: Filem animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) berjaya meraih RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam.

Kutipan itu sekali gus memecahkan rekod kutipan dicatatkan oleh filem Ejen Ali yang ditayangkan kepada umum pada tahun 2019

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation yang juga pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin bersyukur, apabila filem berkenaan mendapat tempat di hati penonton.

“Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali, bukan sahaja untuk membawa animasi Malaysia bersaing setaraf dengan naskhah antarabangsa.

“Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan amat menggalakkan kami untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

EATM2 memaparkan perjalanan Ali yang dipilih sebagai perintis bagi misi berisiko tinggi di bawah SATRIA, program elit yang menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).

Namun, misi itu menjadi kompleks apabila Rizwan memohon bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik siri ancaman yang menggugat keselamatan Cyberaya.

Pada masa sama, Neonimus, iaitu penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap Ali, muncul kembali. Walaupun begitu, niat sebenar di sebalik tindakannya untuk mencetuskan kekacauan kekal menjadi tanda tanya.

Dalam dunia penuh tipu muslihat dan bahaya, setiap keputusan yang diambil Ali menjadi penentu, bukan hanya buat dirinya, malah masa depan seluruh kota Cyberaya.

More From Author

CUEPACS setuju dengan titah Agong, penjawat awam mesti bebas pengaruh politik

Sistem penyejukan terbesar dunia di Masjid Haram diaktifkan bagi keselesaan jemaah