Diberkas proses, edar RM6.8 juta dadah

JOHOR BAHRU: Baru enam bulan sudah kena cekup.

Itulah nasib seorang lelaki yang baru berjinak-jinak mengedar dan menjual dadah akhirnya diberkas dalam operasi khas di Mutiara Rini, di sini, 14 dan 15 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, suspek berusia 45 tahun itu dicekup bersama-sama seorang wanita Vietnam berumur 34 tahun dalam operasi bermula pukul 7.30 petang di sebuah rumah teres dua tingkat.

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan menemui sejumlah 2.6 kilogram (kg) serbuk ekstasi dan 368 gram ganja serta peralatan memproses dadah.

“Kita kemudiannya dipandu arah suspek ke sebuah rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dan menahan seorang lagi wanita Vietnam berusia 23 tahun.

“Dalam serbuan kedua ini, polis merampas 38 kg serbuk ekstasi serta 1.37kg ketamin dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan RM6,875,354,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Selain itu, pihaknya turut merampas dua buah kereta, wang tunai RM57,985 serta pelbagai barang kemas dan jumlah keseluruhan sitaan  RM265,615.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan sindiket itu dengan menjadikan rumah sewa sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah sebelum diedarkan ke dalam pasaran tempatan.

“Rumah pertama yang kita serbu ini disewa suspek sejak April tahun lalu dan dijadikan sebagai tempat memproses serta membungkus dadah. Suspek sendiri bancuh dadah dan bungkus menggunakan paket kecil jus minuman dan teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dadah yang siap dibungkus pula akan disimpan di rumah kedua yang dipercayai disewa sejak Mei lalu sebelum diedarkan kepada pelanggan,” katanya sambil memberitahu ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamin, manakala dua wanita warga  positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepines.

Kesemua mereka ditahan reman sehingga 26 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua wanita Vietnam tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

More From Author

Pesawat TUDM tergelincir, KIA tutup landasan utama

MCMC turunkan 1,415 kandungan jelik libat kanak-kanak sehingga 15 Jun 2025