ISKANDAR PUTERI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 yang bertemakan Jom Beli Lokal, bagi memperkukuh sokongan terhadap produk tempatan seiring pertumbuhan positif sektor perdagangan pengedaran negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen ini adalah langkah strategik memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi domestik, sekaligus membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) tempatan dalam meluaskan jaringan pasaran.
Katanya, pelaksanaan KBBM tahun ini juga mengambil kira perkembangan semasa industri perdagangan pengedaran yang mencatatkan nilai jualan berjumlah RM1.766 trilion pada 2024, meningkat 5.5 peratus berbanding RM1.674 trilion pada tahun sebelumnya.
“KBBM adalah inisiatif untuk menonjolkan kualiti produk tempatan sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import.
“Jadi usaha ini bukan hanya dilaksanakan oleh KPDN, tetapi akan digerakkan oleh pelbagai agensi dan kementerian dengan strategi dan pendekatan masing-masing.
“Selain kempen ini yang kita gerakkan menerusi pendekatan fizikal, kita juga menggunapakai pendekatan untuk mempromosi produk tempatan dalam platform e-dagang dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah pengendali platform e-dagang sebab potensinya cukup luas.
“Pada 2023 dan 2024, tiga platform e-dagang iaitu TikTok, Shopee dan Lazada menjana jualan melebihi RM347 juta di bawah KBBM yang membabitkan hampir 700,000 ‘Stock Keeping Unit (SKU),”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 peringkat Zon Selatan di Puteri Harbour di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han.
Menurut Armizan, bagi menjayakan kempen ini satu mesyuarat koordinasi yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan berlangsung pada minggu depan.
Katanya, antara intipati mesyuarat itu adalah menyelaraskan pendekatan program antara kementerian dan agensi untuk menggalakkan pembelian barangan tempatan.
“Pelbagai kementerian dan agensi mempunyai inisiatif masing-masing. Contohnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mempunyai usahawan produk tempatan jadi kita akan selaraskan melalui pendekatan.
“KPDN akan selaraskan untuk program masing-masing yang dijalankan oleh kementerian namun bersandarkan kepada satu matlamat iaitu menggalakkan pembelian Jom Beli Lokal dan melihat supaya ia boleh mencapai strategi dan sasaran yang ditetapkan termasuklah untuk mengurangkan kebergantungan barang import.
“Mesyuarat minggu depan itu juga akan mengenalpasti selain dalam ruang kementerian dan agensi kerajaan, ada pihak yang boleh kita bekerjasama untuk anjakkan gerakan ini, termasuk platform e-dagang,”katanya.
Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2025 Zon Selatan di Puteri Harbour Iskandar Puteri berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.
Johor menjadi tuan rumah pertama bagi jelajah ini pada tahun ini, sebelum diteruskan ke Zon Utara (Kedah), Zon Timur (Pahang), Zon Tengah (Selangor), Zon Sabah dan Zon Sarawak. – BH
