Anwar janji harga RON95 kekal

ISKANDAR PUTERI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga minyak (RON95) susulan ketegangan berlaku antara Iran-Israel ketika ini.

Tegasnya, walaupun harga minyak (RON95) dunia ketika ini dilaporkan meningkat mendadak, kerajaan mengambil keputusan tersebut kerana kesannya kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Minyak ini harganya naik turun. Sekarang ini keadaannya (harga global) agak rendah, tetapi bila naik, ia naik mendadak. 

“Namun, kerajaan tidak menaikkan harga minyak kerana mengambil kira kesannya kepada rakyat,” katanya ditemui selepas menghadiri perjumpaan dengan Kepimpinan PKR Johor di Rimbunan, Medini Mall, di sini hari yang turut dihadiri  Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh

Sebelum itu, media melaporkan harga minyak boleh melonjak sehingga AS$130 setong sekiranya Iran memutuskan untuk menutup Selat Hormuz, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar Turkiye Hurriyet.

Selat itu mengendalikan 20 peratus penghantaran minyak global dan 80 peratus daripada perdagangan minyak serta gas asli cecair (LNG) bagi Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

More From Author

Siapa Ketua Polis Negara yang baharu masih jadi teka-teki

Mahasiswa universiti awam mengaku amang seksual sepupu