Cools bakal ke liga Jepun sertai Cerezo Osaka

KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan negara Dion Cools bakal mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama yang beraksi dalam liga Jepun selepas melengkapkan perpindahan ke Cerezo Osaka.

Cerezo Osaka memaklumkan, Cools akan menyertainya selepas menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan yang sedang melakukan persiapan Kelayakan Piala Asia 2027.

“Cerezo Osaka dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Dion Cools telah menyertai kelab ini dari Buriram United FC secara perpindahan tetap.

“Cools akan terlibat dengan tugasan antarabangsa bermula 5 Jun dan dijadualkan menyertai pasukan selepas menamatkan komitmennya bersama skuad negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Cools turut menyatakan rasa teruja beliau untuk memulakan lembaran baharu bersama kelab Liga J1 itu.

“Saya benar-benar gembira kerana mendapat peluang untuk datang ke Jepun serta Osaka dan saya amat bersyukur atas kesempatan ini.

“Saya tidak sabar untuk bertemu dengan rakan sepasukan, barisan kejurulatihan serta semua peminat dan penyokong secepat mungkin.

“Saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan menang sebanyak mungkin perlawanan dan mencapai matlamat kami. Terima kasih atas sokongan anda,” katanya lagi.

More From Author

Peniaga boleh terus guna gas LPG subsidi sehingga pindaan PPKB dimuktamadkan – Armizan

Premis perniagaan ditutup pada Sabtu sempena sambutan Aidiladha – MBKT