JOHOR BAHRU: Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) terus mengukir nama di peringkat antarabangsa apabila dua institusinya, Sekolah Hospitaliti & Pelancongan (SHP) KYPJ dan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) — mencatat kejayaan membanggakan dalam World Chef Championship 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini baru-baru ini.
Gandingan mantap antara pensyarah, penuntut dan alumni KYPJ serta semangat juang tinggi pasukan KKJ telah membuahkan hasil luar biasa, membuktikan keunggulan KPYPJ dalam melahirkan bakat dalam bidang kulinari dan hospitaliti bertaraf dunia.

SHP KYPJ meraih dua pingat ‘Most Outstanding Chef’, dua pingat emas cemerlang, enam pingat emal, 11 perak dan tiga gangsa.
KKJ pula meraih lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

“Kejayaan ini bukan hanya mencerminkan kehebatan dalam penyediaan makanan tradisional dan moden, malah memperlihatkan kemahiran profesional dalam dekorasi kek, penyediaan hi-tea serta seni persembahan makanan — setanding dengan standard antarabangsa,” demikian menurut KPYPJ dalam kenyataan kepada Majesticnews.my.
Antara nama yang menyerlah termasuk alumni KYPJ, Jannahtul Akhma yang dianugerahkan sebagai ‘Outstanding Top Johor Malay Cuisine Chef’.

Nur Sarah Fatehah (KYPJ) pula dinobatkan sebagai ‘Outstanding Junior Malay Cuisine Chef & Excellent Gold’
Nur Shariza, Norasidah dan Puteri Irdeena yang mewakili KKJ pula meraih pingat emas bagi pencuci mulut dan kek dekoratif, manakala Ahmad Hadief Hafizzie mendapat pingat emas dalam kategori Ikan Asam Pedas.

“Semoga pencapaian ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga KPYPJ dan generasi pelapis untuk terus mencipta kejayaan yang lebih besar di peringkat global.
“Tahniah SHP KYPJ dan KKJ! Teruskan melangkah dengan penuh yakin, dedikasi dan kecemerlangan demi mengharumkan nama Johor dan Malaysia di persada antarabangsa,” demikian menurut kenyataan tersebut. – MN
