JOHOR BAHRU: “Dia cakap kalau dia tiada, jaga anak elok-elok. Saya tanya, kenapa awak cakap begini, jangan cakap begitu, tak baik.”
Demikan pesanan terakhir arwah Sitti Aisah Ismail, 49, kepada suaminya, Nadsmi Idris, 45, beberapa jam sebelum kemalangan maut yang meragut nyawa tiga beranak di Tangkak semalam.
Nadsmi yang bekerja sebagai jurukimpal di Singapura berkata, pesanan itu dititipkan isterinya ketika mereka yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berhenti makan dan solat.
“Apabila fikir semula, saya tertanya-tanya kenapa dia berkata begitu, seolah-olah memberi petanda akan sesuatu yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Layangkasa, Pasir Gudang, hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.15 petang itu, Sitti Aisah dan anaknya, Ataullah Aidan, 14, dan cucunya, Fatteh Athar Abdul Fattah Dayyan, 2, maut dalam kemalangan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Jamellulkamal Abdul Halim dilaporkan berkata, kejadian berkenaan melibatkan MPV jenis Nissan Serena.
Menurut Jamellulkamal, kemalangan berlaku apabila MPV itu dalam perjalanan pulang ke sini selepas menghantar anak mereka ke Universiti Islam Melaka sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.
Bercerita lanjut, Nadsmi berkata, insiden berkenaan berlaku selepas mereka sekeluarga bertolak dari rumah pada pukul 11 malam kelmarin dan tiba di Melaka sekitar pukul 4 pagi semalam.
Nadsmi berkata, arwah isterinya seakan-akan sudah dapat merasakan bahaya ketika mereka berhenti makan di sebuah restoran.
“Semasa sampai di restoran, saya parkir kereta di tepi sungai, tapi arwah melarang dan cakap tempat itu bahaya serta bimbang kami mati jika brek tidak berfungsi lalu terjunam ke dalam longkang.
“Mendengar kata-katanya itu, saya terus pusing dan mengalihkan kereta ke bahagian belakang,” ujar bapa kepada empat anak itu.
Nadsmi berkata, ketika kemalangan berlaku dia memandu dengan kelajuan sekitar 110 kilometer sejam sebelum sebuah kenderaan lain tiba-tiba memandu laju sehingga membuatkannya terkejut dan hilang kawalan.
“Kereta saya terbabas masuk ke kawasan berumput sebelum terlanggar pembahagi jalan dengan kuat hingga naik ke atas pembahagi.
“Saya yang masih sedar berusaha membantu mengeluarkan ahli keluarga termasuk arwah isteri dan cucu namun tidak mampu menarik anak bongsu yang tersepit di tempat duduk belakang,” katanya.
Dia berkata, luluh hati apabila melihat isteri dan cucunya sudah tidak bermaya sebelum berjaya mengeluarkan kedua-duanya.
Dakwanya, dia tidak berjaya menarik Ataullah yang merupakan anak bongsunya keluar dari MPV tersebut kerana tersepit sebelum berjaya dikeluarkan pihak bomba.
Tambahnya, jenazah isteri, anak dan cucunya selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang pukul 10.30 pagi tadi.- MAJESTIC
