Bomba guna dua kren keluarkan pemandu maut tersepit nahas treler-lori

BATU PAHAT: Pasukan bomba terpaksa gunakan dua kren untuk mengeluarkan seorang pemandu yang tersepit yang terlibat nahas lori dan treler di Kilometer 93.5, Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan I Abd. Rahim Razali berkata, kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu melibatkan treler membawa muatan kayu palet yang melanggar sebuah lori membawa jentera skylift.

“Akibat perlanggaran tersebut, muatan kayu palet menghempap bahagian belakang kepala treler dan menyebabkan seorang mangsa iaitu lelaki dewasa tersepit di bahagian pemandu treler.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan operasi penyelamatan dengan menggunakan dua buah jentera kren untuk mengangkat kepala lori dan satu power unit resquetech tool bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Dua mangsa yang berada di dalam lori membawa muatan jentera skylift, iaitu seorang lelaki dewasa berumur 40 tahun dan seorang kelindan lelaki berumur lingkungan 40-an selamat.

Mangsa yang tersepit, iaitu lelaki berusia 56 tahun berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan selepas pemeriksaan dilakukan di lokasi.

Tambahnya, seramai 17 anggota dari BBP Ayer Hitam dan BBP Yong Peng terlibat dalam operasi tersebut dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) yang jaraknya 21 kilometer.- MAJESTIC

More From Author

Nak jimat kos, kilang ambil 492 pekerja asing tak sah

Bunuh Irene: Polis tunggu arahan TPR