Bunuh Irene: Polis tunggu arahan TPR

JOHOR BAHRU: Kertas siasatan kes bunuh pelajqr tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) negeri pada Jumaat lalu untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, pihaknya kini masih menunggu arahan atau keputusan daripada pihak TPR.

“Proses teliti sedang dilaksanakan oleh pihak pendakwaan memandangkan suspek utama yang ditahan dalam kes berkenaan merupakan seorang pesalah juvana.

“Kita telah pun merujuk kertas siasatan berkaitan kes tersebut ke pejabat TPR, kita belum menerima apa-apa arahan terkini daripada pihak mereka, masih dalam peringkat kajian terhadap kes tersebut.

“Memandangkan suspek dalam kes ini merupakan pesalah juvana, perkara ini perlu diberi pertimbangan yang lebih teliti,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Baru-bqru ini, negara dikejutkan dengan kematian tragis Irene Sofiya, 16, yang ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng pukul 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.

Mangsa ditemukan dengan kesan kecederaan parah akibat trauma tumpul pada bahagian kepala selepas hadir ke sekolah bagi mengikuti kelas tambahan.

Hasil siasatan lanjut, pihak polis percaya motif pembunuhan adalah akibat perasaan dendam suspek terhadap mangsa termasuk berkaitan penolakan cinta suspek dan menjalin hubungan dengan kawan baik sendiri.

Polis turut merampas sebatang besi sepanjang 96 sentimeter serta sehelai baju sukan yang mempunyai kesan darah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengenai status tahanan, Ab. Rahaman memaklumkan bahawa tempoh reman ke atas suspek remaja lelaki itu masih berjalan dan dijangka berakhir pada Jumaat ini.

Pihak polis amat berharap agar arahan atau keputusan rasmi daripada Pejabat TPR dapat diperoleh sebelum tempoh tahanan reman tersebut tamat.- MAJESTIC

More From Author

Bomba guna dua kren keluarkan pemandu maut tersepit nahas treler-lori

Jerebu: Akhirnya Indonesia pertimbang tawaran bantuan asing