JOHOR BAHRU: Sebuah kilangkomponen automotif dan elektronik di kawasan perindustrian Tebrau, di sini sanggup menggaji pekerja asing secara tidak sah bagi menjinatkan kos operasi.
Namun, tindakan itu terbongkar semalam dalam serbuan pada pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari oleh ñ Jabatan Imigresen serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi bersepadu itu dilakukan hasil risikan dan aduan awam yang memaklumkan terdapat ramai pekerja asing bekerja secara tidak sah di kilang tersebut.
“Dalam operasi tersebut, terdapat beberapa pekerja asing yang cuba melarikan diri dan bersembunyi ketika pemeriksaan dijalankan.
“Bagaimanapun, hasil tindakan pantas dan kawalan anggota di lokasi, mereka berjaya dikesan dan diberkas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati seramai 492 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya, mereka terdiri daripada 77 lelaki dewasa warganegara Myanmar, 170 lelaki dewasa Bangladesh, 48 lelaki dewasa Nepal, 28 lelaki dewasa warga India dan tiga lelaki dewasa Pakistan.
Tambahnya, ini termasuk 38 lelaki dewasa Indonesia, 66 wanita dewasa Myanmar, dua wanita dewasa Bangladesh, tujuh wanita Nepal, tiga wanita dewasa warga India, seorang wanita dewasa Kemboja dan 49 wanita dewasa Indonesia.
“Mereka berusia dalam lingkungan 19 tahun hingga 46 tahun yang dipercayai bekerja tanpa kebenaran, gagal mengemukakan dokumen sah serta melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus kilang tersebut, katanya.
Mohd Rusdi memberitahu, serbuan itu adalah hasil pemantauan intensif selama beberapa minggu, susulan maklumat mengenai kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian yang lebih tinggi.
Kesemua yang ditahan katanya, disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Jabatan Imigresen Malaysia negeri Johor mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor,” katanya.
Pihaknya tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap majikan serta pemilik premis menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit kerja yang sah.- MAJESTIC
