Ambang Merdeka Gegarkan MAHA 2026, 5,000 Banjiri ROTF

Perkampungan Bang Mat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) berubah menjadi lautan manusia apabila konsert Rhythm of the Farmers (ROTF) menerusi tema Night of Finale berjaya menarik kira-kira 5,000 pengunjung, malam Ahad.

Lebih istimewa, kemeriahan acara sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 itu turut diserikan dengan sambutan Ambang Kemerdekaan negara ke-69.

Kehadiran Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menambah seri acara yang menghimpunkan barisan artis popular tanah air itu.

Tepat jam 9 malam, pentas ROTF mula berdenyut dengan gelagat dua pengacara, Shasha Nadira Rosli atau Sha dan Ashhrapp Kamal yang lebih mesra disapa Acap, yang berjaya mencuit hati penonton dengan celoteh spontan mereka.

Penyanyi Santesh membuka tirai persembahan dengan dua lagu Tamil, Kathi Mela Kathi dan Jiwang, sebelum menghangatkan pentas menerusi lagu Amalina.

Suasana kemudian berubah nostalgia apabila Kumpulan Blues Geng membawa penonton mengimbau zaman kegemilangan era 80-an menerusi lagu popular Oh Mak Siti dan Apo Nak Dikata.

Lebih bermakna apabila lagu Jumpa Kawan Lama dipersembahkan sebagai tanda penghargaan khas buat Mohamad.

“Lagu ini ditujukan khas kepada kawan lama, Abang Mat,” ujar Ito.

Tidak sekadar menghiburkan, Sha dan Acap turut menghidupkan suasana menerusi segmen kuiz yang menguji pengetahuan penonton berkaitan kenegaraan, pengetahuan am serta MAHA.

Pentas kemudiannya bertukar lebih sentimental apabila Syamel membawa penonton menyelami emosi menerusi lagu Lebih Sempurna dan Kau Pun Sama.

Penyanyi yang juga suami kepada Ernie Zakri itu mengajak penonton menghidupkan suasana dengan menyalakan lampu telefon ketika mempersembahkan lagu Cukup Sekali.

“Sama-sama kita hayati lirik lagu ini,” kata Syamel.

Tidak ketinggalan, penyanyi bersuara emas Dayang Nurfaizah memukau hadirin menerusi dendangan lagu Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung serta lagu rancak Umpan Jinak Di Air Tenang.

Menjelang kemuncak acara, kumpulan Bunkface tampil mencetuskan fenomena apabila berjaya membuatkan penonton bangun menyanyi dan menari bersama.

Vokalisnya, Sam atau nama sebenar Shamsul Annuar Mohd Baharum menghiburkan peminat menerusi rangkaian lagu popular seperti Malam Ini Kita Punya, Situasi, Darah Muda dan Revolusi.

Kemeriahan malam ambang sambutan ulang tahun Kemerdekaan itu diteruskan dengan persembahan dron berwarna-warni yang menghiasi langit MAEPS, menampilkan tema pertanian, penternakan serta teknologi moden.

Tepat detik 12.01 tengah malam, kiraan detik bersama pengunjung disusuli pertunjukan bunga api yang menerangi seluruh kawasan tapak persembahan.

Menurut MARDI Corporation, ROTF diwujudkan sebagai salah satu pengisian hiburan utama MAHA 2026 bagi memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung menerusi gabungan muzik, kebudayaan dan aktiviti interaktif.

“Pelbagai pengisian hiburan disusun secara berterusan bagi meningkatkan keterlibatan pengunjung selain mewujudkan suasana lebih meriah sepanjang penganjuran MAHA,” katanya.

ROTF berlangsung setiap malam sepanjang MAHA 2026 sehingga 6 September dengan mengetengahkan barisan artis tempatan menerusi tema persembahan berbeza.

Penganjur turut memaklumkan ROTF bukan sahaja memberi fokus kepada persembahan muzik, malah menampilkan elemen hiburan lain seperti persembahan buskers, aktiviti kebudayaan dan pengisian santai untuk pengunjung.

“Penekanan turut diberikan terhadap aspek produksi, penjenamaan serta pengalaman pengunjung bagi memperkukuh identiti ROTF sebagai platform hiburan yang dinamik dan inklusif,” katanya.

ROTF bakal melabuhkan tirai pada 6 September selepas 10 hari beraksi dengan pelbagai barisan penyanyi yang hebat. – MAJESTIC

More From Author

Rohingya pandu Honda Civic tanpa lesen, konvoi ‘terbantut’

‘Suami pegang kuat kaki anak – Isteri