JOHOR BAHRU: Mana-mana individu yang ingin menyampaikan pengajian atau ceramah agama di Johor diwajibkan mendapatkan tauliah terlebih dahulu daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), tanpa pengecualian.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, menegaskan bahawa semakan terhadap penceramah tanpa tauliah bukanlah satu tindakan bermusim atau bersasar kepada mana-mana individu tertentu.
Sebaliknya katanya tindakan itu adalah pelaksanaan berterusan berpandukan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
“Kita tidak mengkhususkan kepada sesiapa. Mana-mana individu yang ingin menyampaikan ilmu agama di Johor, wajib memiliki tauliah mengikut Seksyen 11 Enakmen yang digariskan. Tidak ada pengkhususan atau pengecualian.
“Awak (penceramah) datang ke negeri kita begitu kalau saya datang ke negeri awak mesti ada adab tertentu. Itu saja kita nak pesan.
“Apabila tidak dapat (tauliah) jangan marah. Saya nasihatkan semua penceramah yang mahu sampaikan ilmu wajib bertauliah, keseragaman dan mudahkan,”katanya ketika ditemui selepas melawat keluarga jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Mekah, Allahyarham Misnan Ahmad, 60 di kediaman keluarga di Taman Gembira di sini, semalam
Menurut Mohd Fared, isu sebenar bukan kerana seseorang itu tidak diberikan tauliah, tetapi lebih kepada keperluan mengikut susunan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.
“Ramai yang memang ada ilmu dan ingin menyampaikan dakwah, tetapi susunannya mesti melalui proses permohonan dan kelulusan tauliah oleh panel bertauliah MAINJ.
“Kita ada panel yang menilai. Enakmen Seksyen 11 ini bukan terpakai di Johor sahaja, seluruh negeri pakai. Saya ke Kelantan atau Terengganu ada peraturan seumpama itu, ia (tauliah) bukan secara tiba-tiba ada.
“Tidak wujud sebarang senarai khas untuk diluluskan (penceramah), sebaliknya keputusan tertakluk kepada penilaian panel yang ditetapkan.
“Jangan masa nak ceremah minta (tauliah), kena ada proses dan kena ikut proses tu,”katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang penceramah agama ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah kediaman di Pasir Gudang pada malam Rabu lalu, selepas disyaki memberi ceramah agama tanpa tauliah.
Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali dilaporkan berkata, penahanan ke atas lelaki berusia 50 tahun itu dilakukan sekitar jam 8.30 malam oleh bahagian penguatkuasaan JAINJ dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana mengajar agama tanpa tauliah.
Nasri mendedahkan bahawa kes penceramah itu pernah beberapa kali dibangkitkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis JAINJ, termasuk maklumat aduan serta keputusan Jawatankuasa Tauliah untuk tindakan lanjut.
“Mengikut rekod, dia pernah ditahan atas kesalahan sama pada 2016, dan berjaya melarikan diri dalam satu serbuan pada 2020. Ini adalah kali ketiga tindakan dibuat ke atasnya ada kesalahan tidak ada kebenaran tauliah mengaja,”katanya. – BH
