Op Gasak: KPDN Negeri Sembilan rampas lebih 150 LPG, tahan 5 lelaki

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas lebih 150 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama dan saiz dalam aktiviti memindahkan gas secara haram di sebuah stor, Jumaat lepas.

Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan berkata, dalam serbuan menerusi Op Gasak itu, pihaknya menahan lima lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Jelasnya, turut dirampas peralatan memindahkan gas dan beberapa dokumen perniagaan disyaki digunakan dalam urusan penyelewengan dengan keseluruhan rampasan dianggar lebih RM50,000.

“Lima lelaki termasuk dua warga asing yang ditahan itu berusia lingkungan 28 hingga 58 tahun.

“Siasatan mendapati premis berkenaan aktif menjalankan kegiatan pemindahan gas bersubsidi ke dalam tong yang tidak dibenarkan terutama pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Zahir menambah kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

More From Author

PBAKL 2025 catat sejarah baharu, lebih 2 juta pengunjung hadir

Semakan tauliah penceramah bukan tindakan bersasar kepada mana-mana individu – Exco