KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak terjejas di sebalik keputusan beliau keluar daripada UMNO.
Menurut Perdana Menteri, peranan dan tanggungjawab Tengku Zafrul masih diperlukan memandangkan beliau telah menjalankan tugas sebagai menteri dengan baik.
“Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik, pelaburan kita ratusan bilion banyak juga dikendalikan dengan usaha beliau, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), MITI dan kerajaan.
“Sekarang dia memilih untuk memohon (keluar UMNO dan sertai PKR), kita belum bincang apa-apa pun sebab dia menunaikan ibadat haji, jadi biar dulu,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau ditemui selepas merasmikan majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul berkata, beliau menyerahkan kedudukannya dalam Kabinet kepada Anwar susulan UMNO menuntut agar kuota menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu.
Ia susulan tindakan Tengku Zafrul meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO untuk menyertai PKR yang mana Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sudah menerima surat rasmi peletakan jawatan beliau dalam UMNO.
Sementara itu, Anwar mengingatkan semua pihak menghormati keputusan Tengku Zafrul keluar dan tidak membuat pelbagai tafsiran tidak sihat.
“Tengku Zafrul telah ambil keputusan dan kita hormat keputusan dia,” katanya.
Bagaimanapun, tambah Anwar, di pihak PKR, perkara itu sudah semestinya akan dibincangkan dengan sebaik-baiknya bersama-sama parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain dan dalam Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette
