KLUANG: Seorang penuntut sebuah kolej didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan yang ditemukan dalam mangkuk tandas, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Nurshazwen Mohd. Idris, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa membunuh seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, di sini pukul 10 pagi, 29 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Aznan.
Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh memaklumkan seorang penuntut lelaki berusia 19 tahun, iaitu kekasih suspek yang sebelum ini direman berhubung kes berkenaan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.
Pada 30 Julai lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, polis menahan pasangan kekasih yang juga penuntut kolej, masing-masing berumur 19 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pihaknya menerima laporan pada pukul 1 tengah hari berhubung kes seorang penuntut dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini kerana melahirkan anak.
Sebelum dibawa ke HEBHK penuntut berkenaan melahirkan anak di rumah sewa berkenaan yang merupakan hostel pelajar perempuan.
Pemeriksaan awal ke atas bayi itu mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada tubuh bayi berkenaan yang ditemui dalam mangkuk tandas.
Berdasarkan siasatan bayi itu dijumpai oleh tenaga pengajar kolej berkenaan dan hasil pemeriksaan lanjut di HEBHK mendapati terdapat seorang lagi bayi (kembar) dalam kandungan pelajar perempuan berkenaan yang kemudiannya selamat dilahirkan.- MAJESTIC
