PETALING JAYA : Kementerian Digital terus memperluas akses rakyat kepada kemahiran, pengetahuan dan peluang dalam ekonomi digital menerusi Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030) untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelaksanaan JMD mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat transformasi digital dapat dirasai seluruh lapisan masyarakat.
“Melalui JMD, lebih ramai rakyat dapat mengakses kemahiran digital, teknologi baharu dan peluang ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh daya saing negara.
“Kita juga mahu memastikan rakyat memahami teknologi yang tersedia, bagaimana ia boleh membantu pelbagai industri serta risiko yang perlu diberi perhatian ketika menggunakan platform dalam talian,” katanya ketika merasmikan JMD 2026 di Dewan Komuniti Damansara Damai, di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong; Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling dan Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ganesh Kumar Bangah.
Menurut Gobind, JMD turut menjadi wadah penting dalam usaha kerajaan melahirkan bakat digital yang bersedia mendepani perkembangan AI, selain memperkukuh daya saing industri tempatan.
“Ia memberikan fokus kepada industri dan bagaimana kita boleh memperkukuhkan industri tempatan dan bawa ke peringkat nasional dan juga ke peringkat global kalau diizinkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, JMD berperanan sebagai platform yang menghubungkan rakyat dengan pelbagai peluang dalam latihan, pekerjaan, keusahawanan dan teknologi digital.
“JMD membuka laluan kepada rakyat untuk membina kemahiran, meneroka kerjaya baharu, menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan.
“Dengan memperluaskan akses kepada teknologi digital dan AI, kita bukan sahaja memperkasa rakyat, malah mempercepat pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.
Beliau berkata, program itu menjadi titik permulaan untuk menghubungkan rakyat dengan latihan, bimbingan, peluang kerjaya serta pasaran yang lebih luas.
Katanya, MDEC akan terus bekerjasama dengan Kementerian Digital, pemain industri dan rakan strategik bagi memastikan setiap pendedahan yang diberikan dapat diterjemahkan kepada tindakan serta hasil yang menyumbang kepada kemajuan negara.
Selaras dengan MD2030, JMD 2026 memberi penekanan kepada empat bidang utama iaitu Digital Literasi dan Etika, Digital Kerjaya, Digital Freelance serta Digital Perniagaan dan Keusahawanan.
Selepas Selangor, siri JMD 2026 akan diteruskan di Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka pada 15 Ogos ini sebelum menjelajah tiga lagi lokasi yang akan diumumkan kemudian. – MAJESTIC
