Pasangan penuntut kolej ditahan tikam, buang bayi dalam mangkuk tandas

JOHOR BAHRU – Pasangan penuntut kolej ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Setia Mutiara di Kluang, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan kejadian itu pukul 1 petang memaklumkan seorang penuntut perempuan dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom di Kluang kerana dipercayai baru melahirkan anak.

“Sebaik pelajar berusia 19 tahun itu melahirkan bayi berkenaan, dia telah menghubungi gurunya sebelum dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati pelajar itu telah melahirkan seorang bayi selain mendapati terdapat satu lagi bayi perempuan dalam kandungannya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, hasil siasatan lanjut di rumah sewa yang didiami pelajar terbabit membawa kepada penemuan mayat seorang bayi perempuan yang sudah meninggal dunia.

Pemeriksaan awal ke atas bayi itu katanya, mendapati terdapati beberapa kesan tikaman pada tubuh bayi berkenaan namun punca sebenar kematian masih dalam siasatan.

Susulan itu katanya, polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun yang juga dipercayai teman lelaki kepada wanita terbabit bagi membantu siasatan.

Ab Rahaman memberitahu, lelaki berkenaan ditahan dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang hari ini..

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atau cuba menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.- MAJESTIC

More From Author

Johor laksana sistem logistik halal

5 melecur, van pekerja terbakar langgar tiang elektrik