MERSING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin akan terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun penyandangnya, Alwiyah Talib sudah keluar parti awal bulan ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, DUN Endau kekal menjadi kubu kuat parti itu dan sokongan akar umbi masih utuh.
“Bersatu sudah melalui pelbagai cabaran di kawasan Mersing namun sokongan akar umbi terhadap Bersatu kekal utuh. Bersatu telah melalui pelbagai ujian di Mersing tetapi Mersing tetap menjadi kubu Bersatu.
“Parlimen Mersing dan DUN Endau telah dimenangi oleh Bersatu manakala jumlah undi DUN Tenggaroh dalam Pilihan Raya Parlimen menunjukkan Bersatu menang di DUN ini,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya.
Terdahulu, beliau yang hadir pada siri jejalah PRN di daerah itu turut mengingatkan pimpinan bahagian untuk terus istiqamah dan bekerja kuat bagi mempertahankan kemenangan Bersatu di semua kerusi dalam Parlimen Mersing.
Pasa 4 Jun lalu Alwiyah mengisytihar keluar Bersatu dan kembali menyertai UMNO selepas menimbang pelbagai asepek demi kebaikan dan masa depan DUN Endau.
Menurut Alwiyah, keputusan tersebut yang turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandangnya dalam Bersatu dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) bersama-sama UMNO, namun pada Mei 2018, beliau bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor lain meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.
Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (Bersatu) dalam pertandingan lima penjuru. – MAJESTIC
