Pemuda maut tunggang motosikal lawan arus

KULAI: Seorang pemuda maut apabila motosikal ditunggang secara melawan arus melanggar sebuah kereta di Kilometer 27, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, arah Johor Bahru di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi.

“Kemalangan melibatkan motosikal jenis SYM dan kereta jenis Suzuki. Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang iaitu seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun dari arah Johor Bahru menghala ke Kulai secara melawan arus.

“Motosikal tersebut hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 50 tahun yang ketika itu sedang bergerak lurus di lorong kiri dari arah Kulai ke Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, akibat dari kemalangan tersebut penunggang cedera parah dan menerima rawatan di hospital di sini sebelum disahkan meninggal dunia manakala pembonceng berumur 22 tahun mengalami luka di dahi dan kaki kiri sedang menerima rawatan.

Pemandu kereta pula katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- MAJESTICS

More From Author

Guru ditahan, disyaki cabul anak murid 12 tahun

KUYPJ cemerlang dalam World Chef Championship