Tangguh PRN Johor kerana rakyat, bukan percaturan kuasa

JOHOR BAHRU: Sebarang cadangan termasuk penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dibuat berdasarkan realiti semasa rakyat dan keadaan ekonomi, bukannya didorong kepentingan politik.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr. Zuhan Zain berkata, jika penangguhan dilakukan mesti dibuat atas kepentingan dan kebajikan rakyat dan langkah membantu rakyat perlu disegerakan.

“Jika ditangguhkan, Amanah Johor menegaskan ini bukan alasan untuk melengah-lengahkan tindakan, sebaliknya kerajaan negeri perlu mempercepatkan usaha membantu rakyat B40, peniaga kecil dan sektor yang terkesan.

“Amanah Johor menggesa agar Kerajaan Negeri Johor memberi tumpuan segera kepada penyelesaian masalah ekonomi rakyat dalam situasi krisis ini.

“Termasuk merangka pelan strategi ekonomi yang jelas dan menyeluruh, bukan sekadar tertumpu kepada soal kuasa politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dilaporkan berkata, beliau akan membawa usul untuk menangguhkan PRN Johor dan PRN Melaka dalam Mesyuarat MKT pada 17 April ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Bahagian UMNO Johor berkata, ini kerana keadaan ekonomi tidak stabil dengan ketidaktentuan politik akibat krisis di Asia Barat.

Mengulas lanjut, Zuhan berkata, pada masa sama Amanah Johor menegaskan parti itu bersedia menghadapi apa juga kemungkinan termasuk sekiranya PRN akan tetap diadakan.

Namun katanya, Amanah Johor sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa dalam apa juga keadaan rakyat mesti menjadi pihak yang menang, bukan mana-mana parti politik atau percaturan kuasa.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa, Amanah Johor sebelum ini telah mencadangkan agar satu perbincangan rentas parti diadakan bagi membincangkan secara serius cabaran ekonomi yang dihadapi rakyat di negeri ini.

“Amanah Johor akan terus komited bersama-sama Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berteraskan kestabilan, keadilan dan kesejahteraan rakyat, serta memastikan Johor kekal berada di landasan pembangunan yang inklusif,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Pemandu bas buat aksi tidak senonoh riba wanita

Budaya Membaca di era AI: Antara kemudahan dan kelesuan minda