Pemandu bas buat aksi tidak senonoh riba wanita

JOHOR BAHRU: Syarikat bas ekspres Sri Maju Group menamatkan khidmat seorang pemandunya serta-merta selepas rakaman video yang tular memaparkannya memandu sambil seorang wanita duduk atas ribanya.

Syarikat itu dalam satu kenyataan mengesahkan pemandu berkenaan merupakan kakitangannya dan kejadian itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru, semalam.

Syarikat berkenaan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemandu terbabit yang dilihat amat membimbangkan serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta etika profesional pemandu.

“Keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan kami. Perbuatan tersebut adalah pelanggaran serius dan tidak boleh diterima sama sekali,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sri Maju Group memaklumkan, beberapa tindakan sudah diambil termasuk membuat laporan polis, menamatkan perkhidmatan pemandu terbabit serta melaporkan insiden kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk siasatan lanjut.

Syarikat berkenaan turut memohon maaf kepada semua penumpang dan orang awam yang terkesan, selain menegaskan komitmen mereka untuk memperketatkan sistem pemantauan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam semua bas.

“Sri Maju Group tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh mengancam keselamatan penumpang,” maklum syarikat bas terbabit.

Syarikat itu turut menjelaskan langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.- MAJESTIC

More From Author

Tangguh PRN Johor dan Melaka – Ahmad Maslan

Tangguh PRN Johor kerana rakyat, bukan percaturan kuasa