JOHOR BAHRU: Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi memberi keceriaan buat keluarga seorang buruh kasar, Muslimin Tumiran, 62, apabila menerima sumbangan daripada pihak Pasaraya Econsave.
Dia yang memiliki seorang anak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dan tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara terharu menerima sumbangan tersebut.
Muslimin lebih membeli barang dapur daripada membeli pakaian raya kerana perkara tersebut lebih utama untuk keluarganya.
“Biasanya saya membeli apa yang penting sahaja sempena Aidilfitri bagi menjimatkan kos dan jika tiada bantuan, maksudnya tiadalah baju baharu bagi anak mahupun isteri.
“Bagi kami, apa yang lebih diutamakan adalah bekalan makanan di rumah yang mencukupi. Kami sambut Syawal secara sederhana mengikut kemampuan.
“Selalunya kalau hari raya, kami pakai mana yang ada sahaja dan anak OKU kami sudah biasa dengan situasi ini.
“Sebabnya pendapatan saya hanya kira-kira RM1,000 dan perlu menampung perbelanjaan dapur, sewa rumah dan sebagainya,” katanya ditemui membeli-belah dengan baucar RM150 tajaan Pasaraya Econsave di Taman Daya di sini hari ini.
Muslimin bersyukur atas sumbangan berkenaan kerana sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga.
“Saya hanya membeli barangan dapur hari ini, manakala soal baju raya baharu, buat masa ini kami masih belum memikirkannya,” katanya.
Mengenai anaknya yang berstatus OKU, dia berkata, usianya 28 tahun dan mengalami kecacatan sejak usia kecil apabila terjatuh ke dalam baldi dan hampir lemas.
“Dia merupakan anak kedua daripada enam beradik dan anak-anak yang lain ada yang sudah berumah tangga selain hanya bekerja biasa,” katanya.
Sementara itu, Suhaimi Mohammad, 44, yang merupakan pesakit strok bersyukur kerana bantuan disalurkan.
“Buat masa ini kami sekeluarga hanya bergantung upah diterima isteri sebagai pengasuh selain bayaran bulanan pencen ilat sejumlah RM1,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Memang situasi yang agak mencabar bagi kami kerana kos sara hidup semakin meningkat. Kami bersyukur kerana anak sulung kami yang bekerja sebagai tukang masak membantu sedikit sebanyak menampung kos perbelanjaan persekolahan anak bongsu yang belajar di Tingkatan Empat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, seramai 40 golongan fakir terpilih bagi mendapatkan sumbangan baucar beli-belah itu.
Menurutnya, pemilihan penerima sumbangan itu dilakukan menerusi pengurusan surau Desa Mutiara di sini.
“Ada sesetengah daripada mereka merupakan pesakit kronik, OKU dan ibu tunggal yang bakal meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Secara keseluruhannya Econsave memperuntukkan RM100,000 untuk disalurkan kepada golongan memerlukan sempena Ramadan di seluruh negara,” katanya.- MAJESTIC
