EcoWorld, JLand Bangunkan Projek RM2 Bilion di Johor

KUALA LUMPUR, 13 Mac — Eco World Development Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Johor Land Group (JLand Group), cabang hartanah milik Johor Corporation, untuk membangunkan dua projek utama di Johor serta projek kediaman di Australia.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua syarikat akan membangunkan projek pembangunan bercampur seluas 8.44 ekar di Larkin dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.02 bilion. Projek yang merangkumi pangsapuri servis, runcit dan hotel itu dijangka dilancarkan pada suku keempat 2026.

Selain itu, sebuah taman perindustrian seluas 316 ekar akan dibangunkan di Kulai dalam kawasan Ibrahim Technopolis dengan GDV sekitar RM1.01 bilion dan dijangka dilancarkan pada suku pertama 2028.

Di peringkat antarabangsa, EcoWorld turut merancang pembangunan pangsapuri kediaman 16 tingkat dengan 123 unit di Macquarie Park, Sydney dengan GDV sekitar A$153 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Chang Khim Wah berkata kerjasama itu akan memperkukuh pembangunan ekonomi di Iskandar Malaysia selain memperluas jejak syarikat ke pasaran antarabangsa.

More From Author

Kanak-kanak maut kereta dipandu nenek kemalangan

Barang dapur lebih utama, tiada baju raya