Tabur objek tajam, tayar meletup, beberapa kenderaan terbabas

SEGAMAT: Beberapa kenderaan dilaporkan terlibat dalam kemalangan yang didakwa berpunca daripada perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab menabur objek tajam atas permukaan Jalan Chaah-Labis dekat sini.

Video yang tular dalam media sosial tersebut memaparkan beberapa kenderaan terpaksa berhenti di tepi jalan selepas tayar mengalami kebocoran.

Dimaklumkan tayar kenderaan terbabit meletup sebelum terbabas dan netizen menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati terutama apabila waktu malam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya terkesan dengan video yang tular itu dan beberapa kenderaan didakwa rosak pada pukul 11.45 malam tadi akibat perbuatan khianat.

“Kejadian didakwa berlaku di Jalan Chaah-Labis antara laluan Simpang Maokil hingga ke laluan Tanah Perkuburan Cina, Chaah.

“Hasil pemantauan dan rondaan kereta peronda polis di Kilometer 141.5 Jalan Johor Bahru-Seremban mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza mengalami pecah tayar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sehingga kini pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat belum menerima sebarang maklumat mahupun laporan polis mengenai kejadian yang ditularkan itu.

Bagaimanapun kata Mohd Jumazanzahir, pihak polis tetap membuat rondaan dan risikan untuk mengesan sertai menyiasat dakwaan tersebut.

“Pihak polis mengingatkan orang ramai untuk memastikan kesahihan sebarang berita sebelum menyebarkan maklumat. Mereka yang menjadi mangsa boleh tampil buat laporan polis,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menyalurkan maklumat terus kepada Balai Polis Trafik IPD Segamat 07-9325811.- MAJESTIC

More From Author

Barang dapur lebih utama, tiada baju raya

Persoal kehadiran Kulasegaran bersama Arun ke mahkamah