JOHOR BAHRU: Seramai 18,455 penjawat awam tetap dan kontrak di negeri ini akan mendapat ‘durian runtuh’ iaitu Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mereka akan mendapat sebulan gaji tertakluk kepada syarat dan ketetapan Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2026.
“Bantuan Khas Kewangan ini akan merangkumi 11,271 penjawat awam negeri;
6,192 warga kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 992 kakitangan Badan Berkanun Negeri.
“Selaras dengan keputusan kerajaan negeri, bayaran Bantuan Khas Kewangan ini akan dibuat pada 5 Mac 2026 atau pada tarikh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa melantik masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri berharap pemberian Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Tahun 2026 dapat dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.
Ini termasuk berusaha sehabis baik untuk memacu negeri ini ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan Bangsa Johor.- MAJESTIC
