Johor sasar hasil lebih RM3 bilion – MB

JOHOR BAHRU:Johor menyasarkan hasil lebih RM3 bilion susulan kutipan memberangsangkan bagi dua bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran itu jauh melebihi unjuran awal RM2.7 bilion seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

“Jumlah ini tidak mustahil dapat dicapai memandangkan situasi sama berlaku pada 2025 apabila hasil negeri mence cah RM2.6 bilion melebihi unjuran awal hanya RM2 bilion.

“Bagi dua bulan ini, saya telah mendapat laporan bahawa hasil negeri Johor ialah RM600 juta, jadi jika sebulan hasil negeri mencecah RM300 juta dan jika ia berterusan secara konsisten setiap bulan, bermakna, pada tahun ini, kita boleh capai RM3.6 bilion.

“Angka yang jauh daripada apa yang kita unjurkan dalam ucapan belanjawan iaitu RM2.7 bilion,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa bersama Media Negeri Johor dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) Pengamal Media 2.0 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On.

Onn Hafiz berkata, pada 31 Disember lalu, hasil negeri adalah RM2.6 bilion, tetapi unjurannya berjumlah RM2 bilion yang melihatkan perbezaan RM600 juta.

Justeru,tidak mustahil untuk tahun ini walaupun unjuran dalam RM2.6 bilion hingga RM2.7 bilion, boleh capai lebih RM3 bilion.

Menurut Onn Hafiz, sekiranya hasil negeri itu meningkat, setiap hasil sudah pasti akan dipulangkan kembali kepada rakyat Johor.

Beliau bagaimanapun, mengingatkan bahawa kestabilan adalah penting bagi mencapai prestasi memberangsangkan atau meningkatkan hasil negeri.

“Dalam senario global geopolitik yang cukup mencabar dan ekonomi yang tidak menentu dengan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat, macam mana kita mahu pastikan ekonomi negeri Johor terus meningkat? Kestabilan.

“Saya sudah kaji bagaimana Singapura berjaya tarik begitu banyak pelabur masuk ke negara, salah satu kuncinya adalah kestabilan. Kalau tidak ada kestabilan, murah macam mana pun kos menjalankan perniagaan, hebat macam mana pun insentif, mereka tidak akan datang.

“Sebab itu, ada cabaran-cabaran kita lihat di negara-negara jiran kita seperti Thailand dan selepas ini, Timur Tengah akan berdepan dengan cabaran, sebagai contoh Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai yang menjadi transit untuk pelbagai penerbangan diserang, ia akan menjadi satu cabaran untuk UAE (Emiriah Arab Bersatu) untuk hidupkan kembali ekonomi, kerana sudah tidak stabil,” jelasnya.

Onn Hafiz turut menegaskan kestabilan hanya dapat dicapai dengan kesatuan hati semua rakyat Johor tanpa mengira bangsa.

“Konsep ini (kesatuan hati) tidak asing untuk rakyat Johor kerana Istana Raja-raja Melayu sebelum ini daripada zaman Sir Sultan Abu Bakar sudah mengilhamkan konsep ‘Bangsa Johor’.

“Sebab itu Johor ini selalu ke depan kerana adanya kesatuan hati,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

18,455 penjawat awam Johor dapat duit raya sebulan gaji

Pemuda hilang, usahakan kebun terbiar berhampiran hutan