KOTA TINGGI: Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal dibonceng bergesel dengan sebuah lagi motosikal ditunggang rakan sebaya di Kilometer 44 Jalan Sungai Rengit di sini malam tadi.
Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa, Mohd Zikry Zulkifli yang berusia 16 tahun meninggal dunia dalam kejadian pukul 10.30 malam itu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta jenis Proton Satria dipandu seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dengan motosikal SM Sport ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 16 tahun.
“Sebuah lagi motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang dan dibonceng lelaki tempatan masing-masing berusia 16 tahun.
“Punca kemalangan apabila Honda C100 bergesel sebelum pembonceng tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar Proton Satria,” katanya dalam satu kenyataan,hari ini.
Akibat kemalangan tersebut pembonceng berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat manakala dua penunggang terbabit mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di hospital sama.
Pemandu kereta tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,00 hingga RM50,000.
Tambahnya, ini termasuk hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh sehingga lima tahun.- MAJESTIC
