KLUANG – Seorang lelaki pekerja kontrak maut apabila motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 79 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 5 petang ketika Mohamad Nor Azwan Abd Aziz, 34, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke arah Kota Tinggi.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuan kereta Perodua Alza dipandu lelaki berusia 26 tahun yang membawa seorang penumpang wanita berusia 35 tahun serta seorang bayi perempuan berumur satu tahun dua bulan datang dari arah Kota Tinggi menuju ke bandar Kluang.
“Ketika sampai di lokasi kemalangan, kereta itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu memasuki laluan bertentang sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa telah tercampak ke dalam belukar manakala kereta terbabit melanggar sebatang pokok di tepi jalan.
Menurut Bahrin lagi, perlanggaran itu telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujarnya, pemandu kereta mengalami gegaran otak serta luka-luka di badan manakala penumpang wanita patah tangan kanan dan kaki kiri, kedua-duanya dirawat di Zon Kuning Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Sementara bayi perempuan berkenaan katanya, tidak mengalami kecederaan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.- Majestic
