Saring calon SPM elak bawa barang terlarang

JOHOR BAHRU: Semua calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula hari ini perlu perlu menjalani saringan sebelum dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, alat pengimbas logam digunakan bagi proses saringan tersebut.

Jelasnya, langkah tersebut sebagai langkah keselamatan bagi memastikan tiada pelajar membawa peralatan terlarang, termasuk gajet rakaman.

“Setiap pusat peperiksaan di negeri ini telah dibekalkan sekurang-kurangnya seunit alat bagi tujuan pemeriksaan harian sebelum calon memasuki dewan.

“Langkah ini bukan sekadar memantau keselamatan malah menjadi peringatan tegas kepada pelajar agar tidak mencuba membawa sebarang alat yang boleh menjejaskan ketelusan peperiksaan.

“Ini untuk elak apa saja benda dilarang… zaman sekarang macam-macam alat boleh merakam,” katanya selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini hari ini.

Aznan berkata, alat pengesan tersebut digunakan setiap sesi peperiksaan, sama ada pada waktu pagi atau petang, bagi memastikan tiada ruang untuk calon menyembunyikan apa-apa barangan mencurigakan.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tidak menolak kemungkinan kaedah sama bakal dilaksanakan pada hari persekolahan biasa tahun hadapan bagi mendidik pelajar supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan seramai 49,654 calon menduduki peperiksaan SPM bertulis hari pertama di seluruh Johor hari ini, termasuk pelajar sekolah kerajaan, swasta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan calon persendirian.

“Alhamdulillah, setakat hari pertama ini, semua pusat peperiksaan di Johor dibuka seperti biasa dan tiada calon terjejas akibat banjir. Cuaca pun tidak menentu, tapi semuanya berjalan lancar,” katanya.

Tambahnya, persiapan rapi telah dilakukan melibatkan kerjasama pejabat daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dibuat lebih awal, terutama bagi sekolah yang berpotensi dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir.

“Bermula hari ini semua calon SPM di Johor menerima makanan percuma yang telah diselaraskan oleh pihak sekolah dan PPD sebagai sokongan moral kepada pelajar yang menduduki peperiksaan,”katanya. – Majestic

More From Author

29 warga asing diberkas

11 cedera termasuk pemandu, bas kilang terbalik