29 warga asing diberkas

JOHOR BAHRU: Seramai 29 warga asing ditahan Jabatan Imigresen negeri ini dalam operasi bersepadu di kawasan komersial, hotel dan premis makanan di sekitar bandar raya ini semalam.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dijalankan pada puukl 11 pagi hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya.

“Lokasi terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral dengan bayaran RM260 setiap langganan perkhidmatan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dewasa warganegara Myanmar, 13 lelaki dewasa warganegara Indonesia, lapan perempuan dewasa warganegara Indonesia, empat perempuan dewasa warganegara Laos dan dua perempuan dewasa warganegara Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua tahanan berusia antara 22 hingga 52 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut, manakala dua borang 29 (saman saksi) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.

“JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan dan tidak berkompromi dengan majikan, pemilik premis atau individu yang menggajikan serta melindungi pendatang tanpa izin,” ujarnya lagi. – Majestic

More From Author

UiTM kesal graduan langgar adab konvokesyen

Saring calon SPM elak bawa barang terlarang