Madrasah terbakar

KOTA TINGGI: Madrasah Tahfiz Riyaadul Muhsineen, Felda Bukit Aping Timur, dekat sini, musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian tersebut disedari penghuninya sebelum menyelamatkan diri dan berkumpul di tanah lapang depan pusat tahfiz berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Rafi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 1.58 tengah hari.

Susulan itu katanya, seramai 15 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan utiliti dikejarkan ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pihaknya mendapati benar berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah kekal berkeluasan 20 x 20 x 15 kaki yang dijadikan pusat tahfiz.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki serta dua pancutan. Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.58 petang namun kerja-kerja pemadaman masih diteruskan.

Jelasnya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid ketika dihubungi memaklumkan bantuan segera Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan disalurkan kepada tahfiz tersebut.

“Pegawai Pendidikan Islam Daerah Kota Tinggi sudah diarahkan membuat semakan.
Bantuan awal terutama keselamatan dan kebajikan anak-anak pelajar dan guru-guru yg terlibat akan disalurkan melalui MAIJ,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 12 saat memaparkan tahfiz berkenaan terbakar dengan kepulan asap hitam dan pelajar berkumpul di kawasan pekarangannya. – Majestic

More From Author

Awie dilantik duta alam sekitar Perak

Warga emas maut kepala terkena komponen lori tercabut