KOTA TINGGI: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) bekas anggota tentera berpangkat Koperal, Syukri Hanafi, 32, atas tuduhan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan, pada 2017.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa yang berhasrat melakukan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan.
Menurut Hakim Hayda Faridzal, keputusan tersebut dilakukan selepas meneliti hujahan kes berkenaan secara keseluruhan daripada kedua-dua belah pihak.
“Mahkamah menggunakan kuasa sedia ada untuk memerintahkan tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan.
“Bagaimanapun kuasa untuk membuat keputusan untuk meneruskan pendakwaan adalah kuasa pendakwa raya.
“Tertuduh, dilepaskan tanpa dibebaskan selain wang jaminan dikembalikan kepada penjamin,” katanya.
Terdahulu A Mathan yang mewakili tertuduh berhujah bahawa siasatan serta perbicaaan kes berkenaan sudah memakan masa lapan tahun.
“Memandangkan kes ini sudah lapan tahun, saya percaya tidak ada keperluan untuk disiasat lagi.
“Sekiranya pihak polis ingin melakukan siasatan, siasatan tersebut perlulah dilakukan sebelum dan bukan selepas tiga saksi pendakwan selesai memberikan keterangan.
“Ini amat memprejudiskan tertuduh di daripada semua aspek kehidupannya termasuk pekerjaan,” katanya.
Namun Nor Afiqah berhujah, pihaknya memohon DNAA kerana masih terdapat saksi bagi kes berkenaan yang belum dipanggil bagi memberi keterangan dalam mahkamah.
Syukri yang mempunyai dua cahaya mata sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen di sini pada 31 Julai 2023.
Dia dituduh berkomunikasi secara seksual dengan seorang kanak-kanak perempuan dengan cara menyuruh memegang bahagian kemaluannya.
Kejadian didakwa pada Julai 2017 di kawasan semak berdekatan pantai taman permainan di Kem Iskandar, Mersing ketika kanak-kanak itu berusia tujuh tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bawah seksyen 11(1)(a) Akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 11 akta yang sama.
Syukri yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun jika disabit kesalahan. – Majestic
