KOTA TINGGI: Seorang pekerja Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 51 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Firdaus Mohamed Lazi, 25, ketika kejadian dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Rapid Pengerang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknga menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 7.45 pagi melibatkan motosikal Honda C100, motosikal SYM VF31I dan sebuah Toyota Wish.
“Motosikal Honda C100 ditunggang lelaki tempatan berusia 55 tahun manakala motosikal jenis SYM VF3I ditunggang lelaki tempatan berusia 25 tahun merupakan pekerja di Rapid Pengerang dan kereta Toyota Wish dipandu lelaki berusia 42 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang SYM VF3I terlanggar belakang motosikal Honda. Akibat kemalangan itu menyebabkan, motosikal jenis SYM masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan keretaToyota Wish,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, dalam kemalangan tersebut, penunggang motosikal SYM VF3I mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, penunggang Honda C100 mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) sementara pemandu kereta tidak
mengalami kecederaan.
Mayat mangsa ujarnya, dibawa ke HKT untuk urusan bedah siasat dan kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Majestic
