JOHOR BAHRU: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) sedang mengkaji penggunaaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan sistem QR di semua restoran rangkaiannya bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Presidennya Datuk Mohamed Mohsin Abdul Razak berkata, langkah tersebut antara usaha jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja warga asing.
“Kami sedang berbincang dengan beberapa syarikat teknologi yang mampu menyediakan sistem menyeluruh daripada pembukaan premis hingga pengurusan operasi harian restoran.
“Ada syarikat yang menawarkan sistem lengkap dari A hingga Z, termasuk fungsi pesanan digital dan pembayaran automatik. Namun kosnya agak tinggi,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Mohamed Mohsin Abdul Razak di Avenue M Hotel di sini hari ini.

Presma kini mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar dengan anggaran lebih 12,000 restoran di seluruh negara.
Mohamed Mohsin berkata, inisiatif itu dilihat seiring dengan seruan kerajaan agar industri makanan tempatan menambah baik sistem perkhidmatan sedia ada.
Menurutnya, walaupun beberapa restoran mamak sudah mula menggunakan sistem QR bagi pesanan makanan, penerimaan pelanggan tempatan masih perlahan kerana kebanyakan mereka lebih selesa dengan kaedah manual.
Pelanggan katanya, masih gemar dilayan secara bersemuka namun pihaknya sedang cuba mengubah budaya tersebut supaya sektor makanan tempatan lebih efisien dan moden.
“Tetapi dalam masa sama, kita turut memohon kerajaan memudahkan semula sistem gantian pekerja asing yang dibekukan sejak 2019, bagi mengelakkan kekurangan tenaga kerja menjejaskan kelancaran perkhidmatan restoran.
“Kami bukan tak mahu ambil pekerja tempatan, tapi minat untuk bekerja dalam sektor restoran memang sangat rendah; jadi, sementara menunggu sistem automasi dan digitalisasi dilaksanakan, kami perlukan pekerja yang mencukupi untuk terus beroperasi,” jelasnya.
Pada masa sama kata Mohamed Mohsin, Presma turut menilai model pelaksanaan yang sesuai berikutan kebanyakan pengusaha sedia ada memerlukan masa antara lima hingga 10 tahun untuk beralih ke sistem baharu tanpa menjejaskan operasi harian.
“Kita mahu beralih kepada sistem moden seperti pesanan melalui kod QR dan penggunaan AI bagi membantu proses perkhidmatan, tetapi ia perlukan masa dan kos yang besar.
“Sebab itu kita mohon kerajaan memudah cara kelulusan pengambilan pekerja asing buat sementara waktu agar sektor ini dapat beralih secara berperingkat,” katanya. – Majestic
