KULAI: Seorang wanita cedera manakala bayinya selamat apabila kereta dinaiki hilang kawalan dan melanggar tembok Plaza Tol Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Penguasa Bomba Kanan I Abd Malik Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 3.17 petang.
“Kemalangan melibatkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki dua wanita dan seorang bayi telah hilang kawalan dan melanggar tembok Tol Skudai.
“Kejadian tersebut menyebabkan pemandu wanita selamat manakala seorang penumpang wanita dewasa cedera manakala seorang bayi selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, pengguna jalan raya yang berada di kawasan itu kemudian mengeluarkan semua mangsa sebelum pihak bomba tiba.
Mangsa yang cedera katanya, dihantar ke hospital dengan menaiki ambulan Kementerian Kesihatan (KKM), operasi tamat pukul 3.18 petang. – Majestic
