Dua lelaki curi kenderaan, pecah rumah ditahan

TANGKAK: Dua lelaki ditahan kerana disyaki mencuri kenderaan dan pecah rumah di sekitar daerah ini Isnin lalu.

Polis merampas pelbagai barang curi selepas melakukan dua serbuan berasingan di daerah ini.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak melakukan tangkapan pukul 1.20 pagi di Kampung Serom 4, Sungai Mati dan Taman Serom Delima, Serom 3, Sungai Mati.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, hasil serbuan berjaya menahan dua lelaki yang terlibat dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di sekitar daerah ini.

“Hasil siasatan setakat ini mendapati suspek terlibat dalam empat kes antaranya mencuri, curi kenderaan dan pecah rumah di Tangkak, Kebun Baru dan Sungai Mati.

“Dengan tertangkapnya suspek ini pihak polis berjaya membuat beberapa rampasan
antaranya empat telefon bimbit, sebatang kunci motosikal jenama Jinkun, sebatang kunci motosikal elektrik dan sebuah motosikal elektrik,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tangkak di sini hari ini.

Katanya, turut dirampas sebuah televisyen, sebuah komputer riba, sebuah lori satu tan warna merah, pam air, alat pemotong, mesin pengisar dan mesin gerudi.

Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 379A, Seksyen 379, Seksyen 453 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suspek katanya, ditahan reman selama empat hari bermula Isnin. – Majestic

More From Author

Medan Niaga Kg Melayu Majidee berwajah baharu

‘Salji’ landa Ulu Tiram?