JOHOR BAHRU: Seorang peniaga telekomunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM600 kepada seorang pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), tahun lalu.
Walau bagaimanapun Liau Hock Soon, 28, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, Hock Soon didakwa secara rasuah memberi suapan berupa wang tunai RM600 kepada seorang pembantu penguat kuasa gred KP19 MBIP sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap premis miliknya yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Pelepas 3, Taman Perindustrian Tanjung Pelepas, Gelang Patah, pukul 12.20 tengah hari, pada 9 Disember tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu pada tarikh dan waktu sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu perempat daripada tempoh maksimum bagi kesalahan asal, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam K Barathi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 1 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – Majestic
