Siasat dari mana sindiket scammer dapat data mangsa

ISKANDAR PUTERI: Sebuah jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk menangani kes pemerdagangan manusia melibatkan rakyat negara ini termasuk dari mana sindiket mendapat data mangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, sindiket terbabit mempunyai sasaran menerusi data yang diperoleh untuk memudahkan mangsa dijerat sebelum diperdaya.

Beliau berkata, Pusat Khidmat ADUN Skudai di sini menerima lapan aduan berkenaan kes sindiket pemerdagangan manusia yang melibatkan rakyat negara ini pada tahun ini setakat ini dan antara kes paling banyak adalah memperdaya tawaran kerja dengan menjadikan mereka sebagai scammer.

“Kes seumpama itu cukup membimbangkan susulan pendedahan dibuat mangsa sindiket panggilan ‘scammer’ yang mendakwa data peribadi lengkap rakyat di negara ini mudah diakses terutama membabitkan maklumat kakitangan kerajaan.

“Tidak hairanlah, ramai anak muda tidak kira bangsa Cina, Melayu dan India jadi sasaran sindiket untuk diupah sebagai ‘scammer’ kerana boleh mendatangkan keuntungan besar.

“Malah, sindiket kini turut menyasarkan anak muda Melayu dengan tawaran kerja bergaji lumayan dalam mata wang dolar Amerika (USD) untuk menarik pekerja dari Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat ADUN Skudai, Taman Ungku Tun Aminah di sini hari ini.

Terdahulu seorang mangsa sindiket perdagangan manusia di Kemboja, Joe membuat sidang akhbar berkenaan pengalamannya diperdaya dan dipaksa menjadi scammer selama empat bulan sebelum berjaya pulang Ogos lalu.

Marina berkata, lapan aduan berkaitan kes itu yang diterimanya adalah tawaran kerja di luar negara, termasuk aduan daripada ibu bapa sendiri.

“Daripada jumlah itu, dua mangsa berjaya diselamatkan termasuk kes terbaharu membabitkan seorang pemuda bernama Joe yang mulanya ditawarkan sebagai pembakar sate tetapi ditipu dan dipaksa menjadi ‘scammer’.

“Sementara enam lagi masih belum dibawa pulang. Kes melibatkan negara seperti Kemboja, Taiwan, Myanmar dan Vietnam,” katanya.

Bercerita lanjut tentang kisah Joe, beliau berkata, pihaknya mendapat panggilan terus daripada pemuda itu untuk diselamatkan pada Julai.

“Saya memohon bantuan daripada Wisma Putra dan Kementerian Luar. Alhamdulillah, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberikan kerjasama baik dan menghantar pegawai ke Sihanouk, Kemboja,” katanya.

Proses membawa pulang mengambil masa kira-kira tiga minggu, ujarnya.

Marina turut menasihatkan golongan muda agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara yang sering disebarkan melalui kenalan atau media sosial.

“Kita faham anak muda kini teruja mencari rezeki dan tertarik dengan tawaran gaji lumayan, namun jangan mudah terpedaya, apatah lagi jika ia datang daripada kenalan atau rakan rapat.

“Ramai ibu bapa yang datang ke pejabat ADUN meminta saya memujuk anak mereka supaya tidak mempercayai tawaran kerja di luar negara yang kononnya menjanjikan pendapatan tinggi, sedangkan hakikatnya indah khabar daripada rupa,” katanya. – Majestic

More From Author

‘Ibarat mati hidup semula’ 4 bulan bekerja sebagai scammer di Kemboja

Budak enam tahun dikelar