‘Ibarat mati hidup semula’ 4 bulan bekerja sebagai scammer di Kemboja

ISKANDAR PUTERI: Seorang pemuda yang mahu mengubah nasib keluarga seakan-akan mati hidup semula, apabila berjaya pulang ke tanah air selepas empat bulan berada di Kemboja dan hidup seperti dalam neraka.

Mangsa yang dikenali sebagai Joe, 36, dari Bandar Baru Uda di sini berkata, semuanya bermula seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu selepas mendapat tawaran daripada rakannya untuk bekerja di Kemboja dengan gaji US$1,500 (RM6,323) sebulan.

“Saya sebelum ini bekerja sebagai pembakar sate di kedai makan bapa kawannya. Saya ditawarkan bekerja pembakar sate di sana sebelum bersetuju. Saya dan beberapa lain bertolak ke sana menaiki kapal terbang pada 5 April lalu.

“Tanpa saya ketahui rupanya kawan saya itu telah menjual saya kepada satu sindiket pemerdagangan manusia di negara itu dan dia mendapat komisen USD2,000 (RM8,429). Sindiket tersebut menanggung semua kos penerbangan dan turut beri saya duit poket RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar berkongsi pengalaman semasa di Kemboja di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai di sini hari ini.

Turut hadir ADUN, Marina Ibrahim.

Joe berkata, apabila sampai dia dan beberapa yang lain ditempatkan di sebuah hotel di sana sebelum diberi layanan baik termasuk berhibur di sebuah pusat hiburan.

Dia kemudian diberi minuman khayal dan apabila sedar sudah berada di markas scammer di Sihanouk, Kemboja dan kawasan itu dikawal rapi dan lengkap dengan sistem keselamatan.

“Di sana baru saya tahu rupanya saya kena kerja sebagai scammer. Memang seksa hidup di sana, makan sekali sehari, bekerja dari pukul 10 pagi sampai pukul 12 tengah malam.

“Kalau tak dapat scam orang atau nilai sasaran kira-kira RM50,000 hingga RM100,000 sebulan, kami kena seksa dengan renjatan elektrik, makan kadang-kadang dipaksa makan daging babi dan dipaksa minum arak,” katanya.

Semasa tinggal di markas tersebut, dia mendakwa tinggal serta tidur bercampur antara lelaki dan wanita selain dibenarkan melakukan hubungan seks sesama mereka serta terdapat kira-kira 40 rakyat Malaysia terperangkap di situ.

Menurut Joe, mendapat peluang untuk melepaskan diri daripada cengkaman sindiket itu selepas seorang ahlinya memberi dua telefon bimbit dan memaklumkan mereka akan dibawa ke sempadan Laos untuk dijadikan buruh paksa atau pengemis.

“Ada yang dihantar ke sana untuk dijual organ tetapi mereka mahukan organ daripada mangsa yang berusia 20 hingga 30 tahun sahaja. Saya dan empat lagi kemudian berusaha menghubungi duta Malaysia di Kemboja.

“Kemudian saya ambil kesempatan menghubungi ADUN Skudai, Marina Ibrahim untuk meminta bantuan melepaskan kami di sana,” katanya.

Menurutnya, usaha itu membuahkan hasil apabila Marina berjaya menghubungi kedutaan Malaysia di sana sebelum menguruskan membawa mereka berlima pulang.

“Kami berlima bersyukur selamat dibawa pulang ke tanah air pada 16 Ogos lalu. Sepanjang tempoh nak bawa pulang itu pun saya fikir antara hidup dengan mati, sebab fikir mana datang dulu, bantuan atau kena bunuh atau dibawa ke sempadan Laos,” katanya.

Dia bersyukur selamat kembali ke negeri ini namun ketika ini tidak pulang ke rumah dam tinggal di sebuah surau di sini kerana masih diburu anggota sindiket terbabit yang berada di sini. – Majestic

More From Author

Remaja maut nahas tiga motosikal, dipercayai dirempuh penunggang berlumba

Siasat dari mana sindiket scammer dapat data mangsa