JOHOR BAHRU: Polis negeri ini mengeluarkan 968 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Lancar di seluruh negeri malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seramai 26 individu ditahan dalam operasi dan pemantauan sempena cuti sambutan perayaan Deepavali 2025.
“Mereka yang berusia antara 15 hingga 46 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan trafik dan narkotik, manakala saman-saman yang dikeluarkan pula antaranya atas kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai struktur kenderaan dan memandu tanpa lesen.
“Sepanjang operasi pemantauan itu, pihak polis turut menyita 170 kenderaan terdiri daripada 165 motosikal dan lima kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor menjalankan Op Lancar itu dengan memberi fokus utama untuk memastikan aliran trafik lancar dan keselamatan pengguna jalan raya
“Hasil daripada operasi dan pemantauan yang dijalankan, kita membuat pemeriksaan ke atas 6,107 orang. Pemeriksaan kenderaan yang dilakukan melibatkan 2,244 motosikal; 2,181 kereta; 236 lori dan 339 lain-lain kenderaan,” katanya.
Terdahulu, Ab Rahaman turut turun padang bersama-sama pegawai dan anggota polis melakukan operasi dan pemantauan di sekitar Tambak Johor di sini dan beberapa lokasi sekitar bandar raya dan lebih 5,000 kenderaan diperiksa.
Beliau berkata, seramai 1,238 orang pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis di seluruh Kontinjen Johor digerakkan untuk melaksanakan penugasan di beberapa lokasi strategik seperti kawasan perumahan, pusat hiburan, pusat beli-belah, kuil-kuil Hindu, lebuh raya utama serta pintu masuk antarabangsa termasuk di Tambak Johor.

“Kita menjalankan beberapa operasi dan pemantauan di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan, pematuhan undang-undang serta kesejahteraan masyarakat khususnya masyarakat di negeri ini terjamin sepanjang sambutan perayaan ini.
“Selain polis, operasi dan pemantauan turut mendapat kerjasama 75 orang petugas dari agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya.
Pada masa sama, Ab Rahaman berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan aliran trafik di laluan-laluan utama, khususnya di Lebuhraya Utara Selatan bagi kedua-dua hala di negeri ini.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, mengutamakan keselamatan, merancang perjalanan lebih awal serta mengelakkan memandu dalam keadaan letih atau di bawah pengaruh alkohol.
“Polis Johor sentiasa komited dalam melindungi keselamatan masyarakat dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam melakukan kesalahaan jenayah mahu pun kesalahan jalan raya,” tegasnya.- Majestic
