Tentera Israel lancar serangan ke atas Gaza – media tempatan

BAITULMAQDIS: Tentera Israel hari ini melancarkan serangan ke atas Gaza ketika Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, terus saling menuding berhubung pelanggaran gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang di wilayah itu, lapor media Israel.

Setakat ini, tiada kenyataan dikeluarkan oleh pihak tentera Israel mahupun Hamas berhubung serangan berkenaan.

Penyiar awam Israel, Kan, melaporkan pasukan udara Israel sedang menyerang Rafah di selatan Gaza.

Kebanyakan media lain pula menggambarkan serangan itu sebagai serangan udara.

Jumaat lalu, tentera Israel memaklumkan ‘beberapa pengganas’ melepaskan tembakan ke arah askar di kawasan Rafah, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Tentera turut memaklumkan mereka menyerang satu lagi kumpulan ‘pengganas’ yang menghampiri anggotanya di Khan Younis pada hari sama.

Tentera menegaskan operasi akan diteruskan bagi menyingkirkan sebarang ancaman segera.

Kerajaan Israel dan Hamas sejak beberapa hari lalu saling menuduh pihak lawan melanggar gencatan senjata, dengan Israel turut memaklumkan lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak.

Kedua-dua pihak juga bertelagah mengenai pengembalian mayat tebusan yang terbunuh.

Israel menuntut agar Hamas memenuhi kewajipannya menyerahkan baki 28 mayat tebusan, manakala Hamas menyatakan pihaknya sudag menyerahkan semua 20 tebusan yang masih hidup serta 12 mayat, namun proses mencari baki mayat memerlukan usaha tambahan dan peralatan khas bagi mengeluarkan jasad yang tertimbus di bawah runtuhan. – REUTERS

More From Author

Penutupan lintasan Rafah: Risiko kebuluran di Gaza meningkat

Pemain bes Limp Bizkit meninggal dunia