Bilionair UAE guna Beckham untuk beli United

MANCHESTER: Bekas bintang Manchester United, David Beckham dilaporkan sudah didekati sekumpulan bilionair dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merancang untuk mengemukakan bidaan membeli kelab itu.

Menurut laporan The Star dan The Mirror, konsortium pelabur yang tidak didedahkan identitinya itu berminat untuk membeli pegangan majoriti milik keluarga Glazer dan sedang berusaha mendapatkan sokongan Beckham sebagai sebahagian daripada rancangan terbabit.

Legenda berusia 50 tahun itu yang memiliki kekayaan dianggarkan bernilai RM1.7 bilion serta mempunyai pegangan dalam Inter Miami dan Salford City dikatakan turut diberi peluang untuk melabur dalam bekas kelabnya itu sekiranya beliau berminat.

Populariti global Beckham menjadikannya calon utama untuk memainkan peranan sebagai duta kepada bidaan berkenaan, mengatasi nama-nama besar lain seperti Eric Cantona dan Wayne Rooney.

Bekas kapten England itu sebelum ini pernah mengkritik cara pengurusan keluarga Glazer sepanjang hampir dua dekad memiliki United selepas kelab itu dibebani hutang besar serta lebih RM6.8 bilion dibelanjakan untuk faedah, pembayaran hutang, dividen dan yuran berkaitan keluarga tersebut.

Nilai semasa Manchester United dianggarkan sekitar RM11.3 bilion namun Glazer dilaporkan hanya akan melepaskan pegangan mereka jika menerima tawaran sekitar RM28.3 bilion.

Keluarga dari Amerika Syarikat itu kekal sebagai pemegang saham majoriti, meskipun menjual hampir 30 peratus saham kepada Sir Jim Ratcliffe menerusi syarikatnya, Ineos, selepas membayar RM6.8 bilion untuk memiliki sebahagian kelab pada 2023 menewaskan bidaan Sheikh Jassim dari Qatar pada ketika itu. – AGENSI

More From Author

Amorim guna taktikal ‘lambung’ lawan Liverpool

Penutupan lintasan Rafah: Risiko kebuluran di Gaza meningkat