MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, menyertai trend hantaran jauh dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menggesa anak buahnya supaya tampil ‘lebih agresif’.
Musim ini, pasukan seperti Everton, Manchester City serta skuad England bimbingan Thomas Tuchel turut memilih pendekatan lebih langsung dalam permainan mereka.
Amorim mahu United mempelbagaikan corak dengan hantaran jauh dan lontaran ke dalam yang panjang menjelang pertemuan dengan Liverpool di Anfield, malam ini.
“Kami ada pemain yang kuat di bahagian serangan. Jika kami menang bola kedua, kami boleh abaikan binaan permainan dari bawah dan terus cipta peluang menjaringkan gol.
“Kami hanya perlu lebih agresif menentang Liverpool. Kami mesti bersedia untuk perlawanan ini,” katanya.
Tambah Amorim lagi ‘setiap kali bola dihantar kepada penjaga gol, kebanyakan pasukan akan bermain secara individu berdepan individu tetapi kadang-kadang tiada ruang untuk hantaran pendek.
“Senne Lammens boleh menggunakan kedua-dua kaki, jadi lebih sukar untuk pasukan lawan menekan dari satu arah. Namun dia tetap perlu bersedia.”
United belum pernah menang di Anfield sejak Wayne Rooney menjaringkan gol kemenangan pada 2016, manakala Liverpool hanya tewas tiga kali di laman sendiri dalam EPL sejak musim 2021/22.
Amorim turut menggunakan pendekatan sama ketika menewaskan Sunderland 2-0 dengan Diogo Dalot melakukan lontaran jauh ke dalam kotak penalti.
Tandukan susulan Benjamin Sesko untuk Bryan Mbeumo turut membawa kepada layangan kad merah kepada penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, bulan lalu. – AGENSI
