KUALA KANGSAR: Kemalangan lori kontena di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, selepas Terowong Menora di sini pagi tadi yang menyebabkan kesesakan sejauh 11 kilometer (km), tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pemandu lori terbbait kemalangan itu hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Katanya, siasatan awal mendapati lori kontena dengan muatan barang pembuatan tayar dari selatan menghala utara, hilang kawalan lalu terbabas sendiri sebelum melintang di tengah jalan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian pemandu lori kontena yang dipandu di lorong paling kanan hilang kawalan lalu terbalik dan melintang di tengah keseluruhan laluan arah utara.
“Laluan di lebuh raya PLUS mengalami kesesakan sejauh 11 kilometer ekoran kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi.
Hesiham berkata, polis maklumat laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 8.15 pagi tadi daripada Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) Sektor 3.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) iaitu kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Razlan Md Nor dari Unit Lebuhraya Zon Utara Sektor 3 di talian 010-7176141. – BH
