Sumbangan hasil SST lebih tinggi dari GST – Maybank IB

KUALA LUMPUR: Hasil cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kini mencatatkan kutipan melebihi jumlah cukai barang dan perkhidmatan (GST) ketika pelaksanaannya sepenuhnya pada 2016 dan 2017, menandakan peningkatan kukuh hasil bukan minyak negara.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB), Suhaimi Ilias, berkata SST kini menyumbang lebih dua peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan dijangka terus meningkat menghampiri paras tiga peratus seperti GST sebelum ini.

“Jumlah hasil SST kini sudah melebihi kutipan GST pada tempoh pelaksanaan penuhnya. Ini belum pernah berlaku sebelum ini kerana SST tidak pernah menembusi paras dua peratus daripada KDNK.

“Peningkatan hasil bukan minyak ini berlaku serentak dengan penurunan hasil petroleum yang menunjukkan aliran menurun sejak beberapa tahun lalu. Mulai tahun depan, kerajaan perlu menerima hakikat bahawa hasil petroleum semakin berkurangan dan perlu mempelbagaikan sumber hasil baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam sesi Tinjauan Ekonomi 2026 bertajuk ‘Belanjawan Malaysia 2026 dan Tinjauan Makroekonomi’ anjuran Perbankan Global Maybank di sini, hari ini.

Sesi itu turut disertai Naib Presiden Kanan, Industri dan Ekosistem, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Gopi Ganesalingam, serta Pemimpin Cukai Kelestarian dan Rakan Kongsi, ITTS, Ernst & Young (EY), Sharon Yong. Ia dikendalikan oleh Ketua Penyelidikan Malaysia, Maybank Investment Banking Group, Lim Sue Lin.

Suhaimi menjelaskan, trend semasa menunjukkan kerajaan kini memberi tumpuan kepada pematuhan cukai, selaras dengan pelaksanaan e-Invois sepenuhnya pada 1 Julai 2026 dan langkah lebih tegas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap duti setem dan instrumen perjanjian.

“Kita boleh jangka tumpuan kerajaan bukan lagi kepada cukai baharu, tetapi memastikan kutipan sedia ada benar-benar dipatuhi,” katanya.

Mengulas Bajet 2026, beliau berkata perbelanjaan kerajaan menunjukkan peningkatan dalam caj tetap seperti emolumen, pencen dan bayaran hutang, manakala subsidi pula menurun.

Katanya, pelaksanaan rasionalisasi subsidi termasuk bagi elektrik, bahan api, ayam dan telur, memberi penjimatan tahunan sekitar RM15.5 bilion kepada kerajaan.

Suhaimi turut menjangka pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan yang diluluskan baru-baru ini berpotensi menjana penjimatan tambahan pada tahun depan.

Sementara itu, Sharon berkata Malaysia perlu memastikan reka bentuk cukai karbon yang bakal diperkenalkan sejajar dengan sistem cukai antarabangsa, khususnya mekanisme pelarasan sempadan karbon Kesatuan Eropah (EU CBAM), bagi mengelak cukai berganda terhadap pengeksport tempatan.

Beliau menegaskan, sistem cukai karbon perlu direka bentuk supaya diiktiraf oleh pihak berkuasa Eropah agar bayaran di Malaysia boleh diimbangi terhadap cukai CBAM di Eropah.

“Selain itu, dana hasil kutipan cukai karbon wajar disalurkan semula kepada inisiatif penyahkarbonan seperti tenaga boleh baharu, pengurusan sisa dan inovasi hijau. Tujuannya bukan sekadar menambah hasil kerajaan, tetapi mempercepat peralihan kepada ekonomi hijau serta mengekalkan daya saing eksport Malaysia di pasaran global,” katanya. – BH

More From Author

Kereta mewah, 727 barangan milik Vida bakal dilelong

Pemandu lori terbalik selepas Terowong Menora hanya cedera ringan