Mayat pemandu ditemukan

MUAR: Seorang lelaki yang hilang selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam Sungai Panchor, di pekan Pagoh di sini semalam ditemukan lemas awal pagi ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, mayat mangsa ditemukan dalam kereta Proton Saga dipandunya selepas ditarik naik ke darat.

“Mayat Mud Husni Mahmud yang berusia 47 tahun dijumpai pukul 1.01 pagi tadi dalam kereta tersebut selepas berjaya dibawa naik dengan bantuan kren.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 20 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPD) dari BBP Muar.

“Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tiga tan, sebuah Nissan Navara, dua bot fiber, sebuah pacuan empat road dan sebuah Rapid Rescue Vehicle (RRV).

“Operasi SAR tamat pada pukul 1.38 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Majestic

More From Author

Wan Saiful dipecat

Ekonomi, dibuli faktor utama sakit mental di Johor seawal usia 7 tahun