Flotilla: Masjid seliaan Jakim diarah laksanakan solat hajat esok

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan semua masjid yang berada di bawah seliaannya untuk melaksanakan solat hajat pada hari esok.

Ia merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bagi memohon keberkatan, perlindungan serta keselamatan kepada para sukarelawan Flotilla Sumud Global (GSF).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, solat hajat tersebut akan diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Justeru, semua umat Islam di negara ini diseru agar bersama-sama berdoa agar misi kemanusiaan ini dipermudahkan, para sukarelawan dilindungi serta diberi kekuatan dan kesihatan yang baik.

“Semoga usaha murni ini mendapat rahmat dan pertolongan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

GSF kini sedang belayar merentasi Laut Mediterranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Misi bersejarah itu membabitkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia, dengan menaiki hampir 70 kapal bersama matlamat untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza.

More From Author

Flotilla: Kerajaan dapatkan bantuan negara sahabat jika rakyat Malaysia hadapi masalah

Fahmi ucap takziah pemergian pengarah filem Ejen Ali