Bekas tahanan Guantanamo bernikah hari ini, azam mula hidup baharu bersama isteri

MUAR: Bekas tahanan penjara Guantanamo, Mohammed Nazir Lep, 49, melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan hatinya hari ini, sekali gus berazam memulakan hidup baharu bersama isteri.

Nazir melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya itu dalam satu majlis pernikahan sederhana di Kampung Jeram Masjid, Bakri, di sini hari ini, dengan dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat.

Anak saudaranya, Muhammad Hazizi Najib, 37, berkata pihak keluarga amat gembira melihat Nazir atau lebih mesra dipanggil ‘Pak J’ akhirnya dapat menempuh kehidupan baharu selepas sekian lama diuji pelbagai dugaan.

“Sememangnya ada perubahan pada Pak J. Dia lebih pendiam berbanding sebelum ini, namun kemesraan itu masih sama.

“Pak J lebih banyak bercakap dan menasihati kami dari sudut ilmiah dan kehidupan.

“Alhamdulillah semua ahli keluarga memberi sokongan kepadanya. Sekarang pun sudah nampak perubahan fizikal pada dia. Masih balik Disember tahun lalu, Pak J nampak kurus sekarang ni dah berisi sikit.

“Kami sekeluarga memang menunggu saat ini. Dia seorang yang kuat semangat dan tabah, jadi kami doakan dia bahagia bersama isteri sampai ke akhir hayat,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Tambah Hazizi, persiapan bagi majlis perkahwinan juga disediakan bersama semua ahli keluarga, sebagai menyatakan terhadapnya.

“Kami harap sangat dia dapat mulakan hidup baru bersama isterinya,” katanya.

Bagi keluarga Nazir, perkahwinan itu dianggap lembaran baharu buat beliau yang kini lebih menumpukan kepada keluarga serta usaha menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat selepas melalui pengalaman getir di luar negara. – BH

More From Author

Fattah, Amira sah bernikah – kini jadi rakan serumah

Peluang JDT takluk Asia diramal tipis