SEPANG: Pelakon Abdul Fattah Mohd Amin, 35, selamat bernikah dengan penyanyi, Nadia Amira Othman, 31, dengan sekali lafaz di sebuah hotel di sini, pada jam 9.07 malam tadi.
Pasangan itu dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan berwakil wali bapa pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir.
Pada majlis itu, pelakon Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang emas tunai berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang.
Fattah yang juga duda kepada seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4, meluahkan kesyukuran apabila majlis dirancang lancar dan berterima kasih kepada keluarga, rakan dan peminat yang sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka.
Hubungan Fattah dan Amira mula menjadi sebutan, akhir tahun lalu. Mereka dikatakan mula berkenalan pada konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza, Disember lalu.
Kunjungan kedua-dua pasangan itu ke London, United Kingdom (UK), Januari lalu, menjalani penggambaran video muzik mula mencetuskan spekulasi, namun, Amira menjelaskan pemergian mereka ke London untuk tujuan kerja.
Fattah dan Amira kemudian dilamar sebagai duta kempen raya jenama pakaian Jakel. Sejak itu, mereka sering tampil berdua ke mana-mana acara dengan berpakaian sedondon.
Februari pula, timbul desas-desus kononnya mereka sudah bertunang, namun kedua-duanya menafikan. Amira dalam temubual bersama media dilapor menafikan khabar angin sudah bergelar tunang Fattah.
Fattah ketika itu turut menafikan sudah bertunang dengan Amira sambil menjelaskan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar rakan kerja.
Mei lalu, timbul kembali gosip membabitkan pernikahan mereka. Bagaimanapun, Fattah sekali lagi menafikan dakwaan bakal melamar Amira sebagai isteri pada 25 Mei. Fattah dilapor berkata, tiada tarikh perkahwinan ditetapkan dirinya mahupun Amira seperti diperkatakan peminat.
Akhirnya, Selasa lalu, Fattah dan Amira dilapor mengesahkan bernikah hari ini, iaitu, pada hari kelahiran Fattah yang ke-35. Fattah dan Amira berkongsi berita baik itu pada sidang media single duet terbaharu Rasa & Takdir dendangan Amira dan adiknya, Irfan Haris. – BH
